Monday, 18 August 2014

Intervensi Awal


1.0 Intervensi Awal  Murid Pemulihan


Intervensi awal(early intervention) didefinisikan sebagai usaha tersusun untuk meningkatkan  perkembangan bayi dan kanak-kanak yang mengalami tumbesaran lambat (Fatimah Bivi,2002). Intervensi awal yang diatur untuk kanak-kanak berkeperluan khas sejak dilahirkan hingga 6 tahun adalah sangat penting. Intervensi awal terdiri daripada gabungan usaha pendidikan, maklumat tentanfg pemakanan, perkembangan kemahiran motor, penjagaan diri, interaksi sosial dan sokongan keluarga yag dilaksanakan sejurus selepas ketidakupayaan dikenal pasti(Hanson &Lynch, 1989).      
 
Intervensi awal bermaksud memberi perkhidmatan rawatan, pemulihan, bimbingan dan khidmat nasihat kepada kanak-kanak dan juga ibu bapa sebaik sahaja sesuatu kecacatan dikesan atau dikenalpasti dialami oleh kanak-kanak (Kail, 2001). Perkhidmatan ini diberikan seawal mungkin agar kanak-kanak tersebut boleh diberikan bantuan dari aspek bahasa, sosial, emosi dan psikomotor agar perkembangan dalam aspek tersebut dapat diberikan agar tidak ketinggalan terlalu jauh dari aspek perkembangan umur dan fizikal dibandingkan dengan kanak-kanak lain yang seusia.

          Intervensi awal merupakan penguasaan bahasa, mempertingkatkan kemahiran matematik, mengembangkan kemahiran motor dan interaksi sosial. Intervensi awal bertujuan mengurangkan kesan sesuatu kurang upaya kepada pemulihan dan mengelaknya menjadi lebih ketara apabila kanak-kanak memasuki sekolah rendah.

Kajian-kajian menunjukkan bahawa intervensi awal membawa kesan positif kepada kanak-kanak kurang upaya dan yang berisiko tinggi dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Di Amerika Syarikat perkhidmatan intervensi awal (3 tahun ke bawah) diwajibkan untuk kanak-kanak yang mengalami perkembangan lewat dan kanak-kanak berisiko tinggi (IDEA,1990).

                         Kepentingan intervensi awal dapat membantu perkembangan pelbagai kebolehan kanak-kanak. Selain itu, kejadian masalah lain yang terikat dengan kesukaran awal boleh diatasi melalui perkhidmatan intervensi awal. Intervensi awal juga berperanan dalam melengkapkan kanak-kanak pemulihan dengan kemahiran asas sebelum mereka masok ke sekolah rendah. Intervensi awal yang intensif dan berkesan mengurangkan beban penyediaan pendidikan khas pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Bilangan kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan pendidikan khas mungkin berkurangan.


1.1       Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M)

Program KIA2M merupakan satu program yang dirancang khusus bagi membantu murid tahun satu menguasai kemahiran asas iaitu membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Murid-murid ini bukan hanya terdiri daripada murid pemulihan  tetapi juga daripada kalangan murid yang hanya perlukan pemulihan dalam kelas. Strategi pengajaran dan pembelajaran untuk kelas ini melibatkan beberapa langkah seperti pencalonan, ujian penapisan, perancangan, pengajaran, penilaian dan tindakan susulan. Strategi pengajaran yang boleh digunakan ialah seperti berpusatkan guru dan berpusatkan murid. Antara teknik pengajaran yang boleh dilaksanakan ialah seperti teknik bercerita, teknik latih tubi, teknik tunjuk cara, teknik bersoal jawab, teknik main peranan dan teknik menyanyi.

 
 1.2.1 Intervensi Berpusatkan Guru
 Pengajaran dan pembelajaran secara berpusatkan guru adalah satu kaedah berkesan untuk mengawal kanak-kanak bermasalah pembelajaran dan tingkah laku(Gersten, 1998). Justeru, golongan pendidik seharusnya sedar tentang peranan mereka yang tidak hanya terbatas untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi juga mencegah sesuatu ketidakupayaan itu menjadi menjadi lebih parah apabila kanak-kanak tersebut sudah dewasa. Kaedah ini memerlukan guru memainkan peranan utama dalam sesi pengajaran dan pemulihan memandangkan guru yang menentukan jenis strategi yang perlu digunakan, model dan  demonstrasi, memberi arahan kepada kanak-kanak dan memantau kemajuan mereka..

    1.2.2 Intervensi Berpusatkan Pelajar
Intervensi berpusatkan pelajar adalah sesuai untuk pelajar yang berkemampuan mengawal tingkah laku sendiri(Grahaam, Harris dan Reid, 1993). Justeru, pelajar yang boleh mengawal tingkah laku sendiri dikenal pasti dahulu dan barulah intervensi berpusatkan pelajar dijalankan. Intervensi berpusatkan pelajar memerlukan pelajar berperanan utama tetapi masih mendapat bimbingan dari guru kelas. Pelajar akan diajar prosedur-prosedur kawalan diri, menentukan matlamat yang realistik, menangani kekecewaan dan cara mengatasi masalah. Intervensi ini melatih pelajar untuk ’berdiri di atas kaki sendiri’.

1.2.3 Intervensi Berpusatkan Keluarga

Kanak-kanak dilihat sebagai sebahagian daripada sistem sesebuah keluarga dalam pendekatan intervensi ini. Apabila ibu bapa terlibat dalam proses intervensi, keluarga akan menjadi elemen yang terpenting dalam proses pemulihan kanak-kanak berkenaan memandangkan keluarga perlu memberi komitmen yang tinggi dalam menjalankan pendekatan ini. Hal ini dapat memperbaiki interaksi antara kanak-kanak dengan golongan dewasa. Di samping itu, pendekatan ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan meningkatkan kefahaman individu berkeperluan khas.
 

No comments:

Post a Comment