Wednesday, 13 August 2014

Proses Penempatan Murid Pemulihan


          Program pemulihan merupakan satu program yang bertujuan membantu murid-murid yang tidak menguasai kemahiran menulis, membaca, mengira dan menaakul. Dalam melaksanakan program tersebut ia memerlukan satu proses yang saling berkaitan  antara satu sama lain. Proses yang terlibat ialah pencalonan murid, pengumpulan maklumat, ujian saringan, ujian diagnosik dan analisis ujian dan tindakan susulan.

2.1 Pencalonan Murid

Pencalonan murid pemulihan adalah proses utama kepada pemilihan calon untuk ditempatkan di dalam program pemulihan. Pencalonan murid pemulihan boleh dilakukan oleh empat pihak iaitu ibu bapa atau penjaga, guru kelas, guru mata pelajaran dan guru besar.

                  
          Bagi pihak ibu bapa atau penjaga, mereka boleh mencalonkan anak-anak mereka untuk mengikuti program pendidikan pemulihan khas berdasarkan masalah pembelajaran anak mereka. Guru kelas pula boleh mencalonkan murid-murid untuk mengikuti kelas berdasarkan pencapaian murid dalam kemahiran asas 3M iaitu menulis, membaca dan mengira dari hasil kerja murid dalam kelas atau keputusan ujian bulanan, semester atau ujian setiap kemahiran.
Guru mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik juga boleh mencalonkan murid yang diajar oleh mereka untuk mengikuti kelas pemulihan berdasarkan kepada pencapaian murid dalam mata pelajaran tersebut. Apabila murid-murid ini lemah dan tidak menguasai kemahiran yang disasarkan maka mereka layak untuk dicalonkan ke kelas pemulihan. Guru besar boleh mencadangkan murid-murid berdasarkan penelitian kad-kad laporan murid dan pemerhatian secara am sama ada di sekolah atau di luar sekolah.

2.2 Pengumpulan Maklumat

                 Butir-butir individu dan prestasi murid akan menolong guru pemulihan untuk lebih memahami murid yang dicalonkan. Ini akan membolehkan seorang guru pemulihan membuat keputusan sama ada murid itu akan mengikuti program pemulihan atau tidak. Daripada rekod individu murid tersebut, guru pemulihan dapat mengetahui beberapa aspek penting berkaitan murid seperti kesihatan, taraf ekonomi keluarga dan kebudayaan di rumah yang mungkin mempunyai hubungan dengan kegagalan murid. Prestasi murid dapat dilihat melalui kemajuan akademik dalam mata pelajaran-mata pelajaran asas. Selain itu, ibu bapa boleh membantu dengan memberitahu tentang tingkah laku umum, kegemaran dan perkara-perkara yang ia tidak gemar serta sikap murid tersebut  terhadap pelajaran. Guru kelas boleh menambahkan maklumat dengan mengambil tahu berkenaan dengan kehadiran, ketepatan masa ke sekolah, kadar dan taraf kerja rumah yang diberi serta perhubungan dengan murid-murid lain. Guru besar boleh campur  tangan berdasarkan peninjauan rekod murid, pemerhatian dan perhubungan. Borang rujukan yang mengandungi kemahiran asas membaca dan mengira serta tingkah laku di bilik darjah boleh menunjukkan secara umum kelemahan murid.



2.3 Proses Saringan



            Ujian saringan ialah satu instrumen pengukuran yang menyeluruh terhadap kekuatan dan kelemahan dalam penguasaan kemahiran-kemahiran asas 3M oleh murid secara individu untuk dicalonkan bagi mengikuti Program Pemulihan. Ujian ini dapat mengesan murid-murid yang lemah dan memerlukan bantuan pemulihan. Dengan lain perkataan, Objektif Ujian Saringan adalah bagi menentukan calon yang layak dimasukkan ke program pemulihan. Bahan atau topik dalam Ujian Saringan merangkumi kerja-kerja yang telah diajar oleh guru kelas sehingga masa saringan diberikan. Oleh itu senarai kemahiran yang diuji akan ditentukan dan direkodkan dalam Jadual Penentu Ujian.

           Ujian boleh dijalankan apabila pencalonan diterima. Selain itu, ujian akan dilaksanakan secara individu atau kumpulan kecil. Hasil daripada ujian akan direkodkan dalam Borang Rekod Ujian untuk difailkan. Bilangan murid yang diterima masuk ke kelas Pemulihan berdasarkan beberapa faktor antaranya ialah skor yang lemah, jenis-jenis masalah yang dihadapi oleh murid dan ruang yang ada untuk Kelas Pemulihan.


2.4 Proses Diagnosis


             Ujian diagnostik adalah Ujian yang terpenting dalam Program Pendidikan Pemulihan Khas. Ujian ini digunakan bagi membantu guru pemulihan mengesan daerah-daerah kelemahan dan kekuatan yang dihadapi oleh setiap murid secara khusus dan seterusnya membentuk objektif pengajaran. Ujian ini dibentuk bukan untuk mengesan masalah-masalah yang dialami ketika belajar dan mengenal pasti punca kegagalan murid dalam menguasai sesuatu kemahiran. Sebagai panduan membina dan mentadbir Ujian Diagnostik, Guru Pemulihan boleh merujuk Buku Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M) terbitan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia (2000).


2.5 Analisa Ujian Diagnostik dan Pengamatan

              Penganalisaan keputusan hendaklah dikumpul dan direkodkan dan diintepretasikan dengan cermat bagi memastikan masalah-masalah murid. Keputusan analisa ujian diagnostik akan menunjukkan daerah-daerah kelemahan dan kekuatan seseorang murid dalam menguasai sesuatu kemahiran serta membantu guru mengenal pasti kumpulan tertentu mengikut kebolehan dan daerah-daerah kesukaran yang dihadapi. Analisa kesalahan ujian tersebut dapat membantu guru merancang satu program pengajaran yang khusus kepada seseorang individu atau kepada satu kumpulan dengan lebih tepat dan sistematik. Daerah-daerah kelemahan itu akan membantu guru untuk memilih kemahiran yang tepat untuk memulakan proses pengajaran dan pembelajaran.


2.6 Tindakan Susulan

               Murid yang telah dapat menguasai kemahiran yang telah dipulihkan akan menjalankan kerja susulan yang dijalankan oleh guru kelas biasa dengan bantuan dan kerjasama dari Guru Pemulihan  apabila diperlukan.  Guru kelas, guru mata pelajaran dan guru pemulihan perlu saling bekerjasama di antara satu sama lain bagi mengukuhkan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid pemulihan. Murid pemulihan yang telah berjaya menguasai kemahiran akan ditempatkan semula ke kelas biasa untuk mengikuti proses pembelajaran seterusnya tetapi akan sentiasa dipantau oleh guru pemulihan ketika berada di kelas biasa. Tujuannya ialah bagi melihat perkembangan pelajar tersebut disamping membantu guru di kelas biasa dalam proses pngajaran mereka. Jika terdapat masalah terhadap murid tersebut, maka guru pemulihan akan segera menyelesaikannya.

No comments:

Post a Comment