1.0
Intervensi Awal Murid Pemulihan
Intervensi awal(early
intervention) didefinisikan sebagai usaha tersusun untuk meningkatkan perkembangan bayi dan kanak-kanak yang
mengalami tumbesaran lambat (Fatimah Bivi,2002). Intervensi awal yang diatur
untuk kanak-kanak berkeperluan khas sejak dilahirkan hingga 6 tahun adalah
sangat penting. Intervensi awal terdiri daripada gabungan usaha pendidikan,
maklumat tentanfg pemakanan, perkembangan kemahiran motor, penjagaan diri, interaksi
sosial dan sokongan keluarga yag dilaksanakan sejurus selepas ketidakupayaan
dikenal pasti(Hanson &Lynch, 1989).
Intervensi awal bermaksud memberi
perkhidmatan rawatan, pemulihan, bimbingan dan khidmat nasihat kepada
kanak-kanak dan juga ibu bapa sebaik sahaja sesuatu kecacatan dikesan atau
dikenalpasti dialami oleh kanak-kanak (Kail, 2001). Perkhidmatan ini diberikan
seawal mungkin agar kanak-kanak tersebut boleh diberikan bantuan dari aspek
bahasa, sosial, emosi dan psikomotor agar perkembangan dalam aspek tersebut
dapat diberikan agar tidak ketinggalan terlalu jauh dari aspek perkembangan
umur dan fizikal dibandingkan dengan kanak-kanak lain yang seusia.
Intervensi awal merupakan penguasaan bahasa, mempertingkatkan kemahiran
matematik, mengembangkan kemahiran motor dan interaksi sosial. Intervensi awal
bertujuan mengurangkan kesan sesuatu kurang upaya kepada pemulihan dan
mengelaknya menjadi lebih ketara apabila kanak-kanak memasuki sekolah rendah.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa
intervensi awal membawa kesan positif kepada kanak-kanak kurang upaya dan yang
berisiko tinggi dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Di Amerika
Syarikat perkhidmatan intervensi awal (3 tahun ke bawah) diwajibkan untuk
kanak-kanak yang mengalami perkembangan lewat dan kanak-kanak berisiko tinggi
(IDEA,1990).
Kepentingan intervensi awal dapat membantu perkembangan pelbagai
kebolehan kanak-kanak. Selain itu, kejadian masalah lain yang terikat dengan
kesukaran awal boleh diatasi melalui perkhidmatan intervensi awal. Intervensi
awal juga berperanan dalam melengkapkan kanak-kanak pemulihan dengan kemahiran
asas sebelum mereka masok ke sekolah rendah. Intervensi awal yang intensif dan
berkesan mengurangkan beban penyediaan pendidikan khas pada peringkat sekolah
rendah dan menengah. Bilangan kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan
pendidikan khas mungkin berkurangan.
1.1
Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M)
Program
KIA2M merupakan satu program yang dirancang khusus bagi membantu murid tahun
satu menguasai kemahiran asas iaitu membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu.
Murid-murid ini bukan hanya terdiri daripada murid pemulihan tetapi juga daripada kalangan murid yang
hanya perlukan pemulihan dalam kelas. Strategi pengajaran dan pembelajaran
untuk kelas ini melibatkan beberapa langkah seperti pencalonan, ujian
penapisan, perancangan, pengajaran, penilaian dan tindakan susulan. Strategi
pengajaran yang boleh digunakan ialah seperti berpusatkan guru dan berpusatkan
murid. Antara teknik pengajaran yang boleh dilaksanakan ialah seperti teknik
bercerita, teknik latih tubi, teknik tunjuk cara, teknik bersoal jawab, teknik
main peranan dan teknik menyanyi.
1.2.1 Intervensi Berpusatkan Guru
Pengajaran dan pembelajaran secara berpusatkan
guru adalah satu kaedah berkesan untuk mengawal kanak-kanak bermasalah
pembelajaran dan tingkah laku(Gersten, 1998). Justeru, golongan pendidik
seharusnya sedar tentang peranan mereka yang tidak hanya terbatas untuk memberi
ilmu pengetahuan tetapi juga mencegah sesuatu ketidakupayaan itu menjadi
menjadi lebih parah apabila kanak-kanak tersebut sudah dewasa. Kaedah ini memerlukan guru memainkan peranan utama dalam sesi pengajaran
dan pemulihan memandangkan guru yang menentukan jenis strategi yang perlu
digunakan, model dan demonstrasi,
memberi arahan kepada kanak-kanak dan memantau kemajuan mereka..
1.2.2 Intervensi Berpusatkan Pelajar
Intervensi
berpusatkan pelajar adalah sesuai untuk pelajar yang berkemampuan mengawal
tingkah laku sendiri(Grahaam, Harris dan Reid, 1993). Justeru, pelajar yang
boleh mengawal tingkah laku sendiri dikenal pasti dahulu dan barulah intervensi
berpusatkan pelajar dijalankan. Intervensi berpusatkan pelajar memerlukan
pelajar berperanan utama tetapi masih mendapat bimbingan dari guru kelas.
Pelajar akan diajar prosedur-prosedur kawalan diri, menentukan matlamat yang
realistik, menangani kekecewaan dan cara mengatasi masalah. Intervensi ini
melatih pelajar untuk ’berdiri di atas kaki sendiri’.
1.2.3 Intervensi Berpusatkan Keluarga
Kanak-kanak
dilihat sebagai sebahagian daripada sistem sesebuah keluarga dalam pendekatan
intervensi ini. Apabila ibu bapa terlibat dalam proses intervensi, keluarga
akan menjadi elemen yang terpenting dalam proses pemulihan kanak-kanak
berkenaan memandangkan keluarga perlu memberi komitmen yang tinggi dalam
menjalankan pendekatan ini. Hal ini dapat memperbaiki interaksi antara
kanak-kanak dengan golongan dewasa. Di samping itu, pendekatan ini dapat
mengeratkan hubungan kekeluargaan dan meningkatkan kefahaman individu
berkeperluan khas.